Anak-anak kadangkala mengamuk dan memberontak dengan merebah-rebahkan dirinya ke lantai sambil menjerit-jerit dan menumbuk-numbuk serta menghentak-hentarkan kaki ke lantai. Tindakan kasar itu sebenarnya berpunca daripada marah. Ibu bapa perlu berusaha menjauhkan anak-anak dari sumber utama marah dan sebab-sebab yang menimbulkan marah agar sifat itu tidak terbawa-bawa hingga mereka besar dan mempergaruhi sikap mereka.
Biasanya kanak-kanak akan menangis apabila lapar. Bayi yang berumur setahun ke bawah akan merengek-rengek jika lambat diberi susu. Manakala kanak-kanak yang sudah pandai bercakap, akan mengamuk atau memberontak apabila makanan yang diminta tidak diberikan. Ibu-ibu tidak sepatutnya membiarkan perkara seumpama itu berlaku. Kita perlu mengatur jadual makan minum anak-anak setiap hari. Beri mereka makan pada masa yang ditentukan agar mereka tidak terbiar dengan perut kosong.
Anak-anak yang sedang leka bermain akan lupa pada makanan. Walupun lapar, mereka akan terus bermain. Sebagai ibu, kita perlu mengajak mereka makan apabila tiba waktunya, walaupun mereka masih bermain lagi. Jika dibiarkan, nanti apabila habis bermain dalam keadaan terlalu lapar, mereka akan memberontak. Jika anak-anak sakit, dia perlu diubati segera. Anak-anak yang sihat jarang meragam dan akan bermain sendiri tanpa mengharap bantuan dari ibu bapa. Nabi SAW sendiri menganjurkan agar berubat sebagaimana sabda baginda yang bermaksud: "Tiap-tiap penyakit ada ubatnya, dan apabila penyakit terkena ubat, baiklah pengidapnya dengan izin Allah Taala." - Riwayat Muslim dan Ahmad.
Sikap kasar ibu bapa seperti suka mengherdik anak-anak, juga akan melahirkan anak-anak yang berjiwa pemberontak ataupun suka memendam perasaan marah. Perlu sekali bagi ibu bapa atau pendidik menjaga lidahnya daripada menghina dan memalukan anak-anak supaya tidak terlekat pada jiwa anak-anak penyakit marah. Kadang-kadang kita dapati anak-anak bercakap dengan ibu bapanya dengan nada marah. Anak-anak seperti ini perlu dididik supaya memiliki akhlak yang baik seperti bersifat lemah lembut, bersopan santun dan menahan diri daripada marah, sesuai dengan firman Alalh yang maksudnya: "Dan mereka yang menahan marah, dan yang memaafkan manusia dan Allah suka kepada orang yang berbuat baik." - Ali Imran: 134
Apabila anak kita menunjukkan tanda-tanda marah, maka kita ceritakan bahawa Allah dan Nabi suka kepada orang yang menahan marah. Ceritakan juga bagaimana Nabi dan para sahabat memaafkan sahaja kesalahan orang yang berbuat jahat kepada mereka. Cerita-cerita teladan dapat membuat anak-anak bersabar apabila mengalami keadaan hendak marah. Ini merupakan sebahagian daripada cara mendidik anak-anak beradab. Sabda Nabi yang bermaksud: "Ajarkanlah anak-anak kamu adab dan perbaikilah adabnya." Riwayat Ibnu Abbas. " Allah merahmati si ayah yang membantu anaknya untuk mentaatinya." Riwayat Ibnu Hibban
Sifat marah pada anak-anak juga boleh berpunca daripada sikap kita yang terlalu memanjakannya dan menurut saja segala kemahuannya. Anak-anak seperti ini akan mengamuk apabila permintaannya tidak dapat dipenuhi serta-merta. Bersederhana dalam mencintai anak-anak dan bersikap natural dalam memberi kasih sayang serta dalam berbelanja untuk mereka dapat menghindarkan anak-anak daripada tabiat terlalu bermanja dengan ibu bapa. Ibu bapa tidak boleh menurut sahaja segala kehendak anak-anak apabila dia mengamuk dan marah hendakkan sesuatu. Jika kita mengalah dengan karenah mereka itu, anak-anak akan beranggapan bahawa cara yang berkesan untuk memperolehi sesuatu dari ibu bapa ialah mengan mengamuk, memberontak dan marah-marah. Dia akan melakukan perbuatan tadi untuk menarik perhatian ibu bapa apabila berhajatkan sesuatu.
Kadang-kadang penyakit marah ini berpunca dari sikap kawan-kawan dan masyarakat sekeliling. Kalau anak kita itu mempunyai satu-satu sifat yang dianggap sebagai kekurangan seperti cacat anggota, bodoh, lambat membuat kerja, pendiam dan sebagainya, maka berbagai-bagai kata nista, ejekan dan sindiran dilemparkan kepadanya. Ini boleh menyebabkan anak kita itu mempunyai dendam dan marah yang amat sangat terhadap orang yang menghinanya. Dlam hal ini, kita perlu menyabarkannya serta menenangkan hatinya dengan memberitahunya hakikat bahawa semua itu adalah kehendak Allah. Dan setiap yang Allah jadikan itu ada hikmahnya. Berikan semangat dan keyakinan padanya untuk terus menjalani kehidupan. Selalulah peringatkan dia bahawa akhirat nanti orang yang berbuat baik akan dibalas dengan syurga dan orang yang berbuat jahat akan diazab di neraka. Beritahu dia walaupun di dunia kita bodoh, cacat dan sebagainya, tetapi jika kita sabar kita akan dapat masuk syurga. Jika di dunia kita cacat, di syurga kita tidak cacat lagi malah teramat cantik.
Apabila anak-anak kita menunjukkan tanda-tanda marah, elok kita ubati segera. Antaranya ialah dengan mengubah kebiasaan yang diamalkan oleh si pemarah. Sabda Nabi yang bermaksud: "Jika seseorang kamu merasa marah ketika berdiri, maka hendaklah dia duduk, moga-moga hilanglah kemarahannya. Kalau tidak, maka hendaklah ia berbaring pula."
Ibubapa hendaklah memberi gambaran buruk terhadap marah itu kepada anak-anak. Umpamanya, dengan mencaritakan keadaan orang yang sedang marah; mata bulat, urat leher kembang, rupa hodoh, muka merah padam dan suara macam guruh; kalau kita suluh muka di carmin, tentu buruk sekali. Kawan-kawan pun akan lari jika kita suka marah-marah. Gambaran buruk orang yang suka marah tadi akan menyebabkan anak-anak benci untuk bersifat pemarah. Walau apa pun cara yang kita lakukan utnuk mengawal dan mengubati penyakit suka marah agar tidak hinggap pada diri anak-anak kita, yang penting kita sendiri sebagai ibubapa patutu menjauhi sifat marah. Ibubapa yang lemah lembut dan pemaaf akan mempengaruhi anak-anak menjadi lemah lembut dan pemaaf juga.
|