My site

Main | Registration | Login
Saturday, 06.14.2025, 8:35 PM
Welcome Guest | RSS
Site menu
Section categories
My articles [7]
Our poll
Rate my site
Total of answers: 6
Statistics

Total online: 1
Guests: 1
Users: 0
Login form
Main » Articles » My articles

Kenapa Salahkan Musuh
Untuk apa Allah jadikan musuh-musuh orang mukmin? Apa faedahnya? bukankah lebih mudah kalau perjuangan ini tidak didatangkan musuhnya? Tidaklah berat sangat halangannya. Itulah pendapat kita. Tapi apa sebenarnya maksud Allah dengan mengadakan musuh-musuh lahir dan batin pada kita? Marilah kita cungkil hikmah-hikmahnya atau faedah-faedah atau kebaikannya. Kita yakin setiap suatu yang Allah takdirkan itu, kecil atau besar bukanlah sia-sia dan tidak untuk main-main. Allah serius terhadap apa yang ditentukan dan ketentuan itu adalah merupakan keputusan yang paling bijaksana serta terbaik dari kemungkinan-kemungkinan lain. Itulah keyakinan kita selaku hamba, kita tidak mampu untuk melihat kebaikan itu secara spontan dan menyeluruh. Bahkan kadang-kadang kita salh sangka pada takdir Allah, yang kita belum tahu atau tidak nampak hikmahnya itu. Kita rasa saja Allah hendak menyusahkan kita atau Allah hendak memberikan nasib buruk kepada kita, sedangkan orang lain nasibnya baik-baik sahaja.

Sebenarnya bukan begitu. Orang bertaqwa tidak pernah terlintas di hatinya sangkaan buruk itu. Ini kerana Allah sudah berjanji dalam firmanNya "Bertakwalah nescaya Allah akan mengajar kamu." Al Baqarah: 282

Orang bertaqwa akan dapat ilmu, kefahaman dan keyakinan langsung dari Allah. Hatinya akan dapat ilmu, Kefahaman dan keyakinan dengan cara Allah masukkan semua itu ke dalam hatinya. Itulah ilmu terang hati namanya. Yakni, Allah mudahkan hambaNya memahamai ilmuNya. Jika terjadi kepada para wali dinamakan ilham atau ilmu laduni dan kepada para nabi dan rasul dinamakan wahyu. Orang yang diberi ilmu cara ini akan mudah memahami rahsia-rahsia tersirat di sebalik  perkara-perkara yang tersurat dan juga akan dapat mencungkil hikmah-hikmah yang terdapat pada sesuatu kejadian yang Allah takdirkan. Dengan cara itu selamatlah orang itu daripada berburuk sangka dengan Allah atau mudahlah baginya untuk menghadapi kesusahan hidup. Ini disebabkan dia yakin dan dapat menerima serta memahami kebaikan di sebalik semua takdir Allah atas dirinya.

Ujian sebanarnya adalah guru yang tidak bercakap, tetapi ia sebnarnya sangat mengajar dan mendidik. Ujian terkecil (apalagi terbesar) yang kita alami dalam hidup, semuanya adalah takdir Allah yang mempunyai maksud yang sangat penting. Orang yang dapat mengetahui, maksud itulah yang mendapat pengajaran dan pendidikan dari setiap takdir Allah itu. Di antara maksud Allah itu ialah:

1. Untuk melatih kita mendapatkan sifat-sifat yang baik seperti sabar, redha, mengenang budi, tawakal, memikirkan nasib orang lain, mengaku diri sebagai hamba yang lemah (yang tiada kuasa menolak takdir buruk yang datang), berbaik sangka, mendekatkan diri dengan Allah, ingat akhirat harap pada Allah, merasai tipu daya dan sementaranya dunia dan lain-lain lagi. Perasaan ini sama pentingnya dalam usaha membangunkan peribadi taqwa. Dan untuk mendapatkannya, nafsu perlu dilatih sebab ia asalnya liar, sangat ingin kepada keburukan dunia dan lupa akhirat. Maka kita hendaklah mendidik, membersihkan dan mengubatinya sungguh-sungguh supaya meningkatlah nafsu kita kepada nafsu mutmainnah sekurang-kurangnya. Untuk itu ujian-ujian kesusahan, penderitaan, penghinaan, ketakutan, kesakitan, kehilangan pengaruh atau pengikut dan lain-lain adalah perlu. Ujian-ujian ini sengaja didatangkan agar teraasalah kita ini hamba lemah yang tidaa berkuasa untuk menolak ketentuan Tuhan. Ini penting demi untuk menanamkan rasa kehambaan ke dalam hati, sekaligus membuang rasa tuan, rasa Tuhan, rasa besar diri dan takabuar yang merajai hati kita selama ini.

Seterusnya bila kita ditimpa penderitaan hidup maka kita pun berkata pada diri kita, "Sabarlah! Redhalah!" Alllah tidak buat ini semua dengan sia-sia. Allah sangat kasih dan sayang pada hambaNya. Ujian ini bererti Allah sayang kerana Dia hendak mendidik kita menjadi orang yang sabar, redha dengan takdirNya. Seterusnya bila ditimpa ujian yang membuatkan kita rasa terhina dan tidak berguna, maka insaflah bahawa kita asalnya hina dan jahil. Kalau begitu mana boleh kita menghina-hina orang dan memandang rendah pada orang lain. Diri kita pun kalau Allah tidak pelihara nescaya terhina dan tidak berguna apa-apa. Begitu juga bila kita diuji dengan ketakutan maka ujian itu mengajar kita supaya menyerahkan diri sepenuhnya pada Allah dengan penuh tawakal. Nasib kita dalam tangan Allah, bukan dalam tangan sesiap selainnya. Jangan takut! lakukan setiap sesuatu untuk Allah. Kemudian bertawakallah. Kemudian bila diuji dengan kesakitan, sebenarnya Allah mahu memberitahu kita bahawa begitulah susahnya orang-orang yang dalam kesakitan. Kalau begitu perlulah kita bertimbang rasa, menziarahi dan membantu si sakit dan lain-lain.

Seterusnya bila datang ujian nikmat yakni Allah tarik satu dari nikmat hidup, misalnya patah kaki, maka teringatlah kita begitulah besar kurniaan Allah. Berharga sekali. Baru kaki patah sudah tidak dapat berjalan. Maka teringatlah ribuan malah jutaan nikmat yang masih Allah kurniakan setiap detik. Oleh itu redhalah dengan Allah kerana kaki kita telah ditakdirkan patah, kerana nikmat-nikmatNya yang masih banyak unutk disyukurkan. Begitulah bila kita dikalahkan musuh atau dijatuhkan dari jawata, maka itu ialah kerana Allah mahu kita ingat padaNya. Agar dengan itu kita datang pada Allah dengan cinta dan rindu. Apalah dirindu pada kemenangan, ketinggian dan jawata? tapi rindulah pada Allah, yang empunya itu semua. Apa diidamkan dunia? Bukankah akhirat lebih kekal dan lebih baik? Atau mungkin Allah mahu mengingatkan, yang kita belum bersedia utnuk jadi penguasa, yang mana kalau kita jadi penguasa, kita akan berlaku zalim dan sombong.

Begitulah maksud Allah dengan ujian-ujian itu. Betula-betul utnuk memanggil hambaNya kepadaNya dan kepada hati yang suci seta akhlak yang mulia dan agung. Sebab itu marilah kita terima ujian dengan sebaik-baiknya, jangan keluh-kesah dan hilang pertimbangan serta buruk sangka dengan Allah atau dengan sesama manusia.

2. Dalam pengalaman hidup kita, selalu kita melukakan hati orang, ibu ayah, sahabat handai dan lebih-lebih lagi kita selalu derhaka pada Allah. Kita sering melakukan perkara yang Allah larang dan Allah tidak suka. Maka jadilah ita orang yang sentiasa berdosa. Dosa mesti dihukum, kalau tidak di dunia, di akhirat(kecuali kita bertaubat betul, hingga Allah ampunkan dosa kita itu). Bagi orang yang Allah suka, dosa itu dihukum di dunia tidak di akhirat. Yakni dengan mendatangkan kesusahan, kemiskinan, kesakitan, kekurang, penderitaan, penghinaan dan lain-lain. Sekiranya kita redha, sabar dengan ujian itu dengan berkata, "Inilah hukuman Allah pada dosa-dosaku." (dengan mengingatkan apa dosa yang dimaksudkan itu). Maka bersihlah kita dari dosa itu. Tapi kalau kita tidak boleh sabar, menerima kesusahan dengan merungut-rungut, mengadu-nagadu, mengeluh, memberontak dan lain-lain yang dilarang Allah, maka ujian itu menambahkan dosa dan kutukan Allah.

Jadi hendaklah kita awas terhadap ujian. Terima dan hadapilah dengan redha dan katakan pada Allah, "Wahai Tuhan, saya terimalah takdir ini dengan mengharap bersihlah diri dai dosa-dosaku" Sebabnya ujian mempunyai dua maksud, yakni melatih diri di samping penghapusan dosa-dosa.

3. Perlu diketahui bahawa ujian-ujian yang ditimpakan pada para nabi dan rasul, wali-wali besar serta kekasih-kekasih Allah itu bukan untuk penghapusan dosa. Ini kerana mereka itu tidak berdosa )para nabi dan rasul) atau kurang berdosa (para wali-wali yang utama). Kalau berdosa pun adalah kerana amalan yang menyalahi utama (khilaful aula) yang tidak layak untuk dihukum begitu. Pada mereka ujian bermaksud meninggikan darjat dan pangkat kedudukan mereka di sisi Allah SWT. Sebab itu ujian mereka berat-berat dan dahsyat. Yang mana kalau ujian itu ditimpakan kepada kita nescaya tidak tertanggung. Ini disebabkan iman, taqwa, sabar, redha dan tawakal kita tidak cukup untuk menahan beratnya ujian itu. Akan tetapi pada para kekasih Allah, taqwa mereka yang begitu tinggi membolehkan mereka meredhai ujian itu. Sebab itu Rasulullah SAW bersabda "Ujian yang berat itu ditimpakan pada nabi-nabi. Kemudian pada wali-wali Allah, kemudian pada orang-orang soleh, kemudian mengikutlah iman masing-masing. - Riwayat Bukhari, Ahmad dan Tarmizi.

Darjat yang dimaksudkan untuk para nabi itulah darjat di akhirat, yakni mereka akan jadi orang besar dan orang penting dalam syurga di akhirat. Syurga pula bukan syurga biasa tetapi syurga di akhirat. Syuga pula bukan syurga biasa tetapi syurga yang khas untuk mereka sesuai dengan penghambaan diri yang dialkukan untuk Allahserta sumbangan besar yang mereka berikan pada manusia semasa di dunia. Hamba-hamba Allah yang selainnya, ramai juga masuk syurga, yakni syurga yang sesuai dengan taraf taqwa masing-masing.

4. Ujian kesusahan yang menimpa kita akan membuat kita berfikir dan bertindak untuk menyelesaikannya. Ertinya ujian menghidupkan akal, meneguhkan jiwa, menggerakkan fizikal untuk berhadapan dengan musuh lahir dan batin atau dengan siapa juga yang menjadi sebab ujian itu menimpa. Dari situ akan bertambah pengalaman, kefahaman dan pengajaran tentang hidup di dunia. Disamping itu mungkin terjadi perubahan-perubahan pembangunan yang akan memberi kekuatan pada masyarakat atau jemaah Islam. Sekaligus ia merupakan benteng dan tembok dari angkara musuh.

5. Ujian memisahkan orang-orang yang tidak tahan uji, yang tidak sabar, tidak ikhlas, yang berpura-pura, tidak bersungguh-sungguh dengan Allah dan yang busuk hati daripada kumpulan orang yang tahan uji, yang sabar, yang ikhlas, yang serius dan yang baik hatinya. Sebab itu Allah berfirman "Apakah mereka menyangka Allah akan membiarkan mereka (sebelum diuji), sedang Allah belum mengetahui siapa orang yang berjihad diantara kamu." At Taubah: 16

"Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, pada hal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad di antara kamu dan belum nyata orang-orang yang sabar." Al Imran: 142

Dalam jemaah Islam, orang-orang yang tidak ikhlas atau yang lemah jiwa lebih-lebih lagi yang berpura-pura tidak patut ada sebab mereka ini tidak memberi apa-apa sumbangan pada perjuangan Islam bahkan mungkin merbahaya. Lihat firman Allah "Kalau mereka itu keluar berjuang bersama kamu, tidak menambah apa-apa melainkan. kekecewaan." At Taubah: 47

Sebab adanya orang-orang yang tidak ikhlas itu membuatkan pertolongan Allah tidak segera datang. Bahkan mereka membantutkan pembangunan dan menjadi duri dalam daging. Kerana itu mereka perlu dikeluarkan melalui ujian-ujian yang Allah datangkan. Bila Allah datangkan ujian, dengan sendirinya orang-orang yang tidak ikhlas akan lari.

6. Allah itu Maha Pemurah. Orang yang derhaka pun diberiNya rezeki, inikan pula orang yang sabar terhadap ujian semata-mata kerana Allah. Tentu Allah memberi sesuatu yang tidak ternialai harganya, yakni syurga. Firmannya "Sesungguhnya diberi ganjaran orang sabar dengan pahala tanpa hisab." Az Zumar: 10

Jadi untuk memberi peluang pada hamba-hambaNya mendapat pahala sabar, maka Allah takdirkan ujian-ujian pada kita. Siapa yang sabar dan redha dengan ketentuan Allah, maka syurgalah hadiahnya. Susah payah atau kepahitan atau penderitaan yang kita tanggung dalam masa yang tidak berapa lama itu, gantinya ialah syurga yangkekal abadi. Oleh itu terimalah ujian Allah dengan sabar! "Sesungguhnya Allah beserta orang yang sabar." Al Baqarah: 153

Ingatlah juga pesanan Rasul "Sesungguhnya neraka itu dikelilingi dengan hal-hal yang sesuai dengan nafsu. dan syurga dikelilingi oleh hal-hal yang dibenci oleh nafsu. (Riwayat Bukhari Muslim)

Firman Allah "Dan sungguh akan kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa (pengikut) dan buah-buahan (biji-bijian) dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. Iaitu orang -orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: "Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepadanyalah kami akan kembali." Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhannya, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat pertunjuk." Al Baqarah: 155 - 157

Itulah di antar hikmah yang besar yang diperolehi dari ujian-ujian. Yang semuanya membawa faedah kepada kita sama ada di dunia atau akhirat. Oleh itu, bila terjadi sesuatu musibah atau ujian kesusahan, kegagalan, penderitaan tekanan dan lain-lain daripada musuh kita terutamnya, tidak bolehlah kita terus melatah, melenting, hilang pertimbangan, susah hati atau kecewa. Maknanya tidaklah boleh kita rasa marah, geram, benci, dendam, sakit hati, dengki dan busuk hati dengan musuh. Jangan kita ikutkan nafsu jahat kita itu. Maknanya tidak bolehlah kita mengamuk, memaki, membalas perbuatan musuh dengan menuduh-nuduh, mencerca menunjuk perasaan, memfitnah, menyalahkan musuh dan lain-lain akhlak yang buruk lagi. Bukan cara itu Islam mengajar kita menghadapai musuh. Bukan dengan cara itu pejuang Islam hendak memerangi musuh dan bukan cara itu perjuangan untuk menegakkan hukum-hukum Allah.

Ketahuilah bahawa sekiranya kita sudah terlajak dengan perbuatan yang tidak patut itu, ertinya kita sudah ditipu lagi oleh mush batin kita, iaitu nafsu dan syaitan. Niat baik kita untuk tegakkan agama Allah di bumi ini telah diselewengkan dengan mengilhamkan satu teknik perjuangan yang sangat menyimpang dari ajaran Islam. Satu kaedah yang boleh menjatuhkan maruah dan nilai jemaah Islam di mata masyarakat. Apa tidaknya? Bukankah dengan menuduh-nuduh tanpa periksa, menunjuk-nunjuk perasaan berang dan panas baran yang buruk, membakar-bakar patung dan meracau-racau tidak tentu hujung pangkal terhadap musuh dalam cakap atau tulisan, akan membuatkanorang benci dengan kita. Kepuaasan hati kita dengan melakukan semua itu sebenarnya membuat orang menilai yang kita ini tidak matang, emosional, pemarah, berakhlak buruk suka mengata orang, memecah belah dan melulu.

Dengan itu orang tidak segan, tidak hormat dan tidak percayakan kita. Orang tertanya-tanya kenapa pejaung Islam cakap tidak serupa bikin, suka mengata, emosional dan keras kepala? Hasilnya orang tidak simpati dengan perjuangan kita, orang tidak percaya kita dan orang lari dari jemaah kita. Kecuali golongan fanatik, yang melulu beri komitmen secara emosional kepada kita. Islam adalh agama fitrah. Ajarannya sesuai dengan naluri semulajadi manusia. Sebab itu Islam tidak ajar kita suka marah-marah dan suka menyalahkan orang ikut sedap nafsu kita. Siapa pun tidak akan suka cara itu. Orang akan lari dari kita. Adakah sejarah Rasulullah SAW dan para sahabat menceritakan bahawa mereka itu menyalahkan musuh, mencerca dan mengumpat apabila dirasanya musuh tidak bantu mereka atau tidak merestui perjuangan mereka? Kalau tidak maka ketahuilah bahawa perbuatan kita menyalahkan orang lain, suka mengumpat orang yang tidak seperjuangan dengan kita, menuduh saudar seIslam sebagai alat musuh atau tuduh kafir atau menghina-hina pihak lawan di atas pentas, dalam kuliah-kuliah kita di hadapan ratusan manusia lain, itu bukan ajaran Islam bahkan terkutuk di sisi Islam. Menganggap kita pejuang yang benar kemudian mengecil-ngecilkan orang lain, menolak pandangan dan nasihat yang baik dari orang lain adalah termasuk penyakit ujub dan takabur yang sangat dibenci dan dimurkai oleh Allah SWT. Mengaku kitalah pemimpin ummah, kitalah kumpulan tajdid hadhari, sedangkan hakikatnya kita belum buat apa pun. Malah lahir dan batin kita lebih kurang sama dengan orang-orang yang dipanggil musuh itu (cuma berbeza dari orang lain dari segi tepikan dan cakap-cakap kita sahaja). Itu adalah sikap melulu dan mengada-ngada yang boleh membuatkan orang tertawakan kita.

Macam-macam lagi sebenarnya langkah atau tindakan pejuang Islam hari ini yang kalau dihalusi, kita akan lihat mereka sendiri yang menjatuhkan diri mereka. Itulah akibatnya kalau mengambil Islam hanya satu sudut tetapi menolak sudut-sudut yang lain sedangkan kita mengetahui. Sepatutnya bila Allah uji kita melalui musuh-musuh kita,apa yang mula-mula terfikir ialah, "Tentu kita berdosa. Sebab itu Allah hukum kita dengan ujian ini.” Dengan kata lain, "Sebab ada dosalah maka Allah tidak tolong kita dan dibiarNya kita pada musuh."

Selain daripada itu ujian juga bererti latihan melawan nafsu-nafsu yang jahat supaya kita dapat mencapai peringkat nafsu yang baik, sebagaimana yang dihuraikan di awal bab ini. Seterusnya terimalah ujian dengan melihat hikmahnya. Bukannya dengan mencerca dan menuduh-nuduh mush atau siapa juga yang jadi sebab atau perantaraan dalam ujian itu. Orang yang menyalah-nyalahkan musuh atau menyalahkan orang yang menyebabkan dia teruji itu telah buat kesilapan besar. Sebab yang sebenarnya bukan orang itu yang hendak susahkan kita, tetapi Allah. Allah yang hendak uji kita. menggunakan orang itu sebagai perantaraan. Kalau begitu, bukan "orang tengah" yang salah tetapi tanyalah Allah kenapa Dia uji kita. Tapi ingat, jangan pula salahkan Allah.  Maha Suci Allah dari bersalah. Ujian yang ditimpakan kepada kita penuh kebaikan dan hikmah yang faedahnya adalah untuk kita, bukan untuk Allah dan bukan juga untuk "orang tengah" yang jadi sebab atau perantaraan ujian itu.

Ujian yang Allah takdirkan melalui musuh lahir atau batin atau melalui orang-orang lain, jangan sangka musuh yang hendak hukum kita (sekalipun musuh memanglah jahat dan bersalah kerana mneyusahkan orang lain dan dia juga perlu dihukum) sebab hakikatnya Allah yang mahu kita diuji begitu. Jangan ulangi dosa-dosa kita, di samping kita atur langkah untuk menghadapi musuh. Atur langkah bukan dengan memaki hamun sampai kita terkenal sebagai orang yang suka menyalahkan orang lain, serta suka mengata orang. Atur langkah ertinya kita halang musuh. Masa Singapura dilanggar todak orang-orang sana bukannya bising menyalah-nyalahkan todak, menuduh todak jahat, tetapi dengan senyap-senyap, orang-orang Temasik tebang pisang, angkut batang pisang ke tepi pantai, susun-susun jadi macam benteng. Bila todak melompat ke darat maka tercucuklah mulutnya yang keras dan tajam serta panjang itu ke batang pisang dan terus melekat di situ. Todak-todak itu tersangkut dan terperangkap di situ. Berjaya orang Temasik. Kejayaan itu bukan dicapai melalui sikap riuh-rendah, bertempik-tempik dan berseminar menyalahkan musuhnya. Tetapi kerana kesungguhan menebang pisang, mengangkut ke pantai dan memacaknya jadi benteng, kerana itulah senyap-senyap musuh terperangkap.

Oleh itu bila terjadi ujian dari musuh kecil atau besar, disamping segera bertaubat dengan Allah atas dosa-dosa kita, aturkan juga strategi untuk tewaskan musuh. Antara stratege yang sesuai dan munasabah bagi kita ialah dengan melawan idelogi musuh melalui ekonomi, politik, pendidikan, pelajaran, media massa, kebudayaan dan lain-lain. Ertinya kita tidak terima akidah mereka dan apa jua dari musuh, kita tidak terima sebab kita ada sistem tersendiri, iaitu Islam! Kita ada wahyu dan hadis nabi, kita ada Quran dan sunnah, hatta pakaian mereka pun jangan kita tiru. Biar musuh terbeliak mata lihat keberanian kita. Kita buat ekonomi Islam, pendidikan Islam, budaya-budaya tamadun Islam, media massa Islam dan lain-lain lagi. Bahkan rumah kita, kita tidak susun macam musuh susun rumah mereka. Kita guna cara Nabi susun rumahnya.

Dengan cara itu musuh akan pening kepala dengan kita. Bahakn mungkin dia takut dan kecewa dengan kita. Lihat kembali sajarah kenapa Yahudi gulung tidakr bantal lari meninggalkan Madinah. Iaitu hanya bermula dari sebuah pasar yang dibangunkan oleh Sayidina Abd. Rahman bin Auf atas perintah baginda Rasulullah. Umat Islam bertumpu ke pasar itu saja dan memulaukan perniagaan Yahudi. Bila orang Madinah ramai yang peluk Islam, tiada siapalagi yang hendak membeli di kedai Yahudi. Akhirnya 'bankrup' dan tutup. Maka berangkatlah Yahudi keluar dari situ dengan dendam yang diwarisi hingga kiamat. Kenapa kita tidak buat begitu kepada mereka yang halang kita (musuh)? Bukankah kita tidak takut pada siapa pun kecuali pada Tuhan?

Category: My articles | Added by: nizam (12.03.2010)
Views: 649 | Comments: 1 | Rating: 0.0/0
Total comments: 1
1 stessetheoR  
0
apa yang saya cari, terima kasih

Name *:
Email *:
Code *:
Search
Site friends
  • Create a free website

  • Copyright MyCorp © 2025 | Create a free website with uCoz