My site

Main | Registration | Login
Saturday, 06.14.2025, 5:56 PM
Welcome Guest | RSS
Site menu
Our poll
Rate my site
Total of answers: 6
Statistics

Total online: 1
Guests: 1
Users: 0
Login form
Main » 2011 » April » 21 » "WOMEN'S LIB" MENURUT ISLAM
4:56 AM
"WOMEN'S LIB" MENURUT ISLAM
Kalau kita kembali kepada sejarah bangsa-bangsa di seluruh dunia pada zaman dahulu, kita akan dapati umumnya kaum wanita dipandang rendah dan hina, boleh diperdagangkan, diseksa dan boleh diperlakukan mengikut sesuka hati. Bangsa Rom purba misalnya menganggap wanita itu umpama najis. Mereka mengikat mulut kaum wanita seperti yang diperlakukan ke atas anjing gila. Bahkan kaum wanita juga tidak dibenarkan berbicara dan ketawa. Sekiranya ada diantara wanita yang membuat kesalahan yang dipandang serius, wanita itu akan decurah dengan air panas menggelegak hingga dia mati. Demikianlah dahsyatnya bangsa Rom purba menindas kaum wanita.

Begitu juga dengan bangsa Arab. Sebelum kedatangan Rasulullah SAW, wanita diperlakukan seperti haiwan. Apabila kaum ibu melahirkan anak perempuan, anak perempuan yang baru lahir itu akan ditimbus hidup-hidup tanpa rasa perikemanusiaan. Walaupun tidak semua yang dibunuh, anak perempuan yang terselamat juga menerima nasib yang malang. Anak-anak ini dianggap sebagai budah suruhan yang mesti membuat kerja-kerja berat. Jika rupa mereka cantik sedikit, anak-anak perempuan ini dijadikan boneka, dipergunakan untuk memuaskan hawa nafsu kaum lelaki. Amat sedikit sekali perempuan yang terpelihara kehormatannya.

Kemudian apabila lahir Rasulullah SAW, seorang pemimpin dunia yang sangat adil, dengan kemuliaan dan ketinggian darjatnya di sisi Allah, Allah telah mengangkat darjat kaum wanita dan diberi hak ke atasnya. Dengan kedatangan Rasulullah SAW dan Islam yang dibawa oleh baginda, kaum wanita dimuliakan, diberi perlindungan dan dijaga kehormatan serta maruahnya. Firman Allah yang bermaksud: "Dan para wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajipannya menurut cara yang makruf (kebaikan). Akan tetapi para suami mempunyai satu tingkatan kelebihan daripada isterinya." Al Baqarah: 228

Sejak itu wanita dimuliakan dengan diberi berbagai-bagai kelebihan. Bukan itu sahaja. Allah juga melarang keras perbuatan menanam anak perempuan hidup-hidup. Untuk itu, Allah yang menghargai kelahiran anak perempuan, seperti digambarkan melalui sebuah hadis yang bermaksud. "Barangsiapa yang mempunyai anak perempuan dan tidak membunuhnya hidup-hidup, tidak menghinakannya dan tidak sayang anak lelakinya melebihi anak perempuan, nescaya akan dimasukkan ia ke dalam syurga." Riwayat Abu Daud dan Hakim

Walau bagaimanapun kaum wanita mesti sentiasa memperjuangkan nasibnya sendiri. Memperjuangkan hak dan darjat yang telah ditentukan oleh syariat; hak untuk mendapat pahala dan keredhaan Allah. Kita tidak mahu sesiapa jua cuba menodai maruah kaum wanita atau cuba hendak menyelewengkan hak dan darjat yang Allah kurniakan itu. Sekiranya ada yang berniat jahat dan cuba mempernainkan maruah kaum wanita, inilah masanya kaum wanita harus bangun untuk bertindak dan memperjuangkan nasib mereka. Inilah masanya untuk memulakan Pergerakan Pembebasan atau singkatnya biasa dipanggil Women's lib.

Tetapi harus diingat, Women's Liberation yang dimaksudkan di sini bukanlah seperti yang ditaja oleh Karl Marx dan Engels (1848). Mereka mengatakan bahawa perkahwinan, alam rumahtangga dan keluarga merupakan halangan yang menjadikan wanita sebagai hamba selama-lamanya! Dengan ini mereka mendesak kaum wanita "dibebaskan" dari perhambaan rumahtangga ini.

Women" Libs tajaan mereka telah mendorong kaum wanita menuntut agar diberi kebebasan bekerja di luar rumah bersama lelaki, bergaul bebas dengan lelaki, diberi hak memilih untuk mandul serta hak mencegah kehamilan (family planning) dan pengguguran anak (abortion) untuk menghalang kehamilan yang tidak dikehendaki. Hasil daripada pergerakan pembebasan wanita tajaan Karl Marx dan Engels itu, wanita memperolehi antara lain, perkara-perkara berikut:

  • Perbarisan wanita yang membawa sepanduk-sepanduk dengan memekik slogan-slogan nasional mula membuat demonstrasi
  • dibenarkan membuang undi dalam pilihanraya
  • mendapat "penghargaan" menyertai peraduan ratu cantik. Bahkan akhir-akhir ini kaum wanita juga menyertai pertandingan untuk merebut gelaran ratu bina badan
  • berkhidmat dalam pasukan pakaian seragam seperti dalam tentera darat, latu dan udara
  • memegang tampuk pemerintahan negara
  • pertubuhan-pertubuhan homseks, lesbian, perkahwinan tanpa surat perjanjian
  • pelacuran diiktiraf di sesetengah negara barat
  • mendapat pengiktirafa ke atas pengguguran anak
Demikianlah diantara "kejayaan" yang amat dikagumi oleh pejuang-pejuang pergerakan Women's Libs tajaan barat. Pada mereka itulah kemuncak perjuangan mereka selama ini. Mereka tidak sedar perjuangan mereka itu sebenarnya membawa kepada kehancuran diri mereka sendir, meruntuhkan rumahtangga dan keluarga dan akhirnya menghancurkan seluruh masyarkat. "Kejayaan" mereka itu tidak lain hanya mencungkil keegoan kaum wanita yang enggan menyerah, mematuhi dan mengamalkan fitrah yang telah ditetapkan oleh Allah. Perjuangan ini juga merupakan kejayaan kepada mereka yang semata-mata ingin memuaskan hawa nafsu.

Dimanakah bukti bahawa pergerakan ini menaikkan darjat kaum wanita? Yang nyata, kaum wanita menerima nasib yang sama seperti zaman jahilliah dahulu. Wanita boleh digula-gulakan dengan wang ringgit dan terhina sehingga ada yang terpaksa melacurkan diri, menjual maruah untuk mencari sesuap nasi!

Oleh itu apakah matlamat sebenar perjuangan kaum wanita? Bagaimana selayaknya wanita harus memperjuangkan hak asasi mereka?

Sebenarnya kesedaran memperjuangkan status dan imej kaum wanita ini bukannya suatu perkara baru yang dibawa dari barat. Malahan, sejak zaman Rasulullah lagi, rasa tidak puas hati telah diluahkan oleh sekumpulan kaum wanita yang diketuai oleh Asma' Yazid Assakani.

Suatu hari Asma' berjumpa Rasulullah dan berkata: "Saya ini mewakili sekumpulan wanita Islam yang sama pendapat dengan saya. Wahai Raulullah, Allah telah mengutusmu kepada kaum lelaki dan perepuan. Sebab itu kami pun beriman dan menurut perintahmu. Sebagai kaum ibu, kami menunggu rumah, menjadi pelempias nafsu lelaki dan mengandungkan anak-anak mereka. Orang lelaki dapat kelebihan boleh bersembahyang Jumaat, menghantar jenazah, serta pahala berjihad. Sekiranya mereka keluar berjihad, kamilah yang menjaga harta dan mendidik anak-anak mereka. Jadi apakah kami juga mendapat bahagian dari ganjaran itu?"

Rasulullah menjawab, "Pulanglah, wahai Asma'. Jelaskan kepada kaum ibu yang mengutusmu bahawa jika seseorang isteri memberi layanan yang baik kepada suami, mencari keredhaan dan menurut perintah atau perkara yang disukai oleh suaminya, maka ganjaran yang diperolehi adalah menyamai ganjaran untuk kaum lelaki, seperti yang telah engkau sebut tadi." Setelah mendapat penjelasan itu, barulah puas hati Asma', lalu pulang menemui kumpulan yang diwakilinya.

Pergerakan pembebasan wanita yang sebenar ialah pergerakan yang dasar, matlamat dan pendekatannya sesuai dengan syariat Islam. Kaum wanita semestinya berjuang agar hak-hak dan taraf yang ditentukan oleh Allah kepada kaum wanita itu dipenuhi. Misalnya, Allah menetapkan seorang wanita memelihara kehormatan. Daripada Abu Umma r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Hendakalah kamu menundukkan pandangan kamu dan memelihara kehormatan kamu atau Tuhan akan memperhodohkan muka-muka kamu." Riwayat At Tabbarni.

Allah juga menetapkan wanita mesti dilindungi sepertimana maksud hadis: "Hendaklah kamu saling nasihat-menasihat terhadap persoalan kaum wanita itu dengan baik, kerana sesungguhnya mereka adalah pembantu-pembantu kamu, dan mereka tidak berkuasa terhadap dirinya sedikitpun dan sesungguhnya kamu mengambil mereka itu sebagai amanah Allah bagi kamu." Riwayat Muslim dan Ibnu Majah

Jadi jika berlaku wanita Islam ditegah memelihara maruahnya atau tidak diberi perlindungan yang telah Allah tetapkan, maka perjuangan
Pembebasan Wanita' Islam mestilah berjuangan mendapatkan hak-hak yang telah Allah tentukan ini. Dengan kata-kata lain, jika wanita Islam ditegah menutup aurat dan disuruh bergaul bebas, maka pejuang kebebasan wanita yang sebenar mestilah sanggup menanggung risiko mempertahankan auratnya dan tetap menjaga batas pergaulannya. Selain dari itu, kaum wanita juga mesti berjuang agar wanita diberi tugas dan kerja yang sesuai dengan fitrahnya. Walau bidang apapun yang diusahakan oleh kaum wanita, tidak kira dalam rumahtangga mahupun di luar, wanita mestilah diberi hak menegakkan kesemua lima hukum Allah.

Perlu diingat, Islam tidak melarang kaum wanita bekerja atau bergelanggang di luar rumah, tetapi dengan syarat tugas utama sebagai isteri dan ibu tidak diabaikan. Tambahan pula syariat juga amat membataskan kerja-kerja yang boleh dibuat. Misalnya syariat membenarkan kerja-kerja yang sesuai dengan fitrah kaum wanita seperti menjadi pendidik di sekolah, merawat sesama kaum wanita dan berdakwah di kalangan wanita.

Dalam konteks ini juga wanita hanya dibenarkan keluar rumah sekiranya dia dapat menjaga maruah diri dan menjaga agar dirinya tidak menimbulkan fitnah. Bermakna kaum wanita mesti menjaga adab-adab kesopanan dan akhlak tatkala bekerja. Oleh kerana tatkala menjalankan urusannya ia mesti berhubung dengan lelaki, maka ia mestilah menjaga adab bertepatan dengan hukum syariat. Kaum wanita dilarang menunjukkan gaya yang boleh merangsangkan minat lelaki terhadapnya. Setiap tutur kata perlu diawasi. Sekiranya perkara-perkara ini sukar dibuat, lebih baik bagi wanita itu hanya tinggal di rumah. Disamping itu untuk mencapai matlamat yang hendak diperjuangkan, mestilah dengan cara yang berhikmah dan terhormat. Agar apa yang hendak kita perjuangkan itu diterima dengan baik oleh masyarakat. Pendekatan secara berdemonstrasi, berarak, memekik-mekik dangan slogan-slogan yang menaikkan semangat hanya akan menjatuhkan maruah dan wibawa kaum wanita itu sendiri.

RIngkasnya, isi perjuangan wanita Islam ialah menuntut hak yang telah ditentukan untuknya oelh syariat, seperti:

  • Hak mengamalkan seluruh hukum-hukum Allah tanpa ada sebarang sekatan dan diskriminasi.
  • Hak untuk menuntut ilmu pengetahuan dan pendidikan.
  • Hak mendapat perlindungan dari segi maruah, keperluan fisiologi, martabat dalam masyarakat dan lain-lain keperluan yang telah diberikan Islam kepada mereka.
  • Hak untuk mendapat nafkah lahir dan batin dalam institusi rumahtangga.
  • Hak membuat pengaduan dan keadilan kepada khadi bila berlaku penyelewengan dalam buhungan suami-isteri.
  • Hak mendapat nafkah untuk menyara keperluan hidup semasa dalam iddah bila berlaku perceraian.
  • Hak membuat teguran dan nasihat dalam urusan masyarakat terutamanya dalam bidang yang mereka ceburi.
Sekiranya didapati perkara-perkara yang hendak diperjuangkan itu belum dapat dilaksanakan seratus peratus, bermakna perjuangan kita belum berakhir. Lebih-lebih lagi belum berjaya! Sebab itulah kita mesti sedar bahawa hakikat pergerakan pembebasan wanita yang sebenarnya ialah agar darjat kaum wanita menjadi tinggi. Isteri akan taat perintah suami, anak-anak menghormati ibu bapa dan kaum wanita seluruhnya akan menjaga maruah dirinya. Tatkala itu barulah perjuangan kita boleh dikatakan berjaya. Tetapi apa yang kita dapati dewasa ini amat menyedihkan. Apabila ada segelintir wanita yang berusaha membataskan pergaulan, menutup aurat dan menjaga maruah diri, mereka dianggap ketinggalan zaman. Tetapi biar apapun yang diperkatakan, itulah hakikat kebebasan yang sebenar. Hanya orang yang mengamalkan sahaja yang dapat menikmati kedamaian dan ketenangan jiwa.

Sesetengah wanita barat sendiri pun sedar tentang kepalsuan pergerakan Women's Lib tajaan "tuk guru" mereka. Seniwati Briggite Bardot misalnya, berkata: "Women get more unhappy the more they try to liberate themselves." (Wanita bertambah tidak bahagia apabila mereka cuba menjadikan diri mereka lebih bebas.) Ini adalah kerana mereka dapati slogan-slogan tentang kebebasan yang diperjuangkan hanya menjahanamkan diri mereka sendiri. Kalaulah seorang Seniwati boleh menerima fitrah ini, tentulah kita yang sudah diberi hedayah dan taufik dapat merasakan bahawa itulah perjuangan pembebasan kaum wanita dari segi perasaan, fikiran, jiwa dan fizikalnya ke dalam lingkungan syariat untuk terus menjadi hamba hanya kepada Allah. Jika wanita telah kembali ke darjat "hamba Allah" ertinya ia telah bebas! Yakni tidak lagi dibelenggu oelh nafsu, syaitan, kaum lelaki, harta dan apa juga makhluk di dunia ini. Bermakna wanita ini wajar mendapat kemuliaan di dunia lebih-lebih lagi kemuliaan di akhirat.
Views: 1675 | Added by: nizam | Rating: 0.0/0
Total comments: 0
Name *:
Email *:
Code *:
Search
Calendar
«  April 2011  »
Su Mo Tu We Th Fr Sa
     12
3456789
10111213141516
17181920212223
24252627282930
Entries archive
Site friends
  • Create a free website

  • Copyright MyCorp © 2025 | Create a free website with uCoz